Sunday, 13 March 2011

Awang Perut Buncit

Di hujung negeri Intan Saujana ada sebuah kampung kecil yang diberi nama Kampung Teluk Sabuh. Seorang nelayan bernama Pak Laha tinggal bersama keluarga di Kampung Teluk Sabuh. Mak laha bercucuk tanam membantu Pak Laha mencari rezeki. Mereka ada seorang anak bernama Awang Tembam. Mereka sekeluarga hidup aman dan damai.
Awang tembam tidak dapat menolong Pak Laha ke laut kerana perutnya yang sangat buncit. Konon ceritanya, perut Awang Tembam lebih besar dari perut perempuan yang mengandung sembilan bulan. Agaknya kerana itu la dia dipanggil Awang Perut Buncit oleh orang kampung.
Kakak-kakak Awang Tembam yang membantu Mak Laha di kebun selalu merungut
“Kami yang penat bekerja, Tembam pula yang makan lebih”, kata mereka.
Pada suatu petang, negeri Intan Saujana diserang oleh raja negeri Setampuk Pinang. Dalam masa sehari saja, negeri Intan Saujana tewas. Namun rajanya tidak mengaku kalah sebaliknya raja Intan Saujana mencabar Raja Setampuk Pinang untuk beradu satu lawan satu dalam berbagai acara.

Malangnya semua askar-askar Intan saujana kalah di dalam semua acara yang dipertandingkan oleh askar dari negeri Setampuk Pinang. Sekarang hanya tinggal satu acara sahaja iaitu bertanding melaga perut buncit.

Maka Awang Tembam pun diperintahkan ke istana. Pak Laha dan Mak Laha menangis melepaskan Awang Tembam. Awang Tembam pun tampil ke tengah gelanggang dan mula mencabar satu persatu pahlawan Setampuk Pinang.

Dalam masa yang singkat Awang Tembam berjaya mengalahkan semua pahlawan Setampuk Pinang dan Raja mereka pun berangkat pulang ke negerinya dengan penuh rasa malu.
Maka selamatlah negeri Intan Saujana

Si Luncai Dengan Labu-labunya




Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar baginda oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.

Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”

Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

“Biarkan! Biarkan!”
Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.
Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dar perahu itu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.
Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada mereka, matilah Si Luncai dan merka pun baliklah memberitahu raja akan hal itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.



Pak Pandir Membaiki Rumah

Pak Pandir suami Mak Andih dan mereka berdua tinggal di rumah buruk. Keadaan itu menyebabkan Mak Andih risau kerana apabila hujan air masuk melalui atap rumah mereka yang bocor. Mereka selalu basah dan kesejukan. Mak Andih cuba memujuk Pak Pandir supaya membaiki rumah mereka.
 
“Eh, manalah saya tahu! Itu kerja tukang rumah,” kata Pak Pandir cuba berdalih. Mak Andih mendapat satu akal, dia membuat sebatang lorong yang bermula dari rumah mereka. Lorong itu berbelit-belit merentas semak dan belukar yang akhirnya lorong itu sampai semula ke rumah mereka.
 
Esoknya, Mak Andih meminta Pak Pandir mencari kerja dan katanya, ada orang di hujung kampung mencari tukang rumah. Dia hendak membaiki rumahnya yang sudah buruk dan Mak Andih pun menyuruh Pak Pandir bekerja di sana dan lama-lama Pak Pandir bersetuju. Maka, berjalanlah Pak Pandir mengikut lorong itu hingga sampai ke sebuah rumah buruk.
 
Pak Pandir pun membaiki rumah itu dan bekerja dengan tekun. Dia menukar atap yang bocor, mengganti dinding yang kopak dan memaku semula lantai yang roboh. Sepekan dia bekerja keras, tuan rumah melayannya dengan baik dan menghidangkan Pak Pandir makanan dan minuman.
 
Pada hari yang kelapan, rumah itu siap dibaiki dan rupanya seperti rumah baru. Pak Pandir mendapat upah yang lumayan dan dia berlari-lari pulang. Dia menunjukkan wang upahan kepada Mak Andih isterinya. Tiba-tiba Pak Pandir hairan dan dia memandang ke sekeliling.
 
“Eh, Andih! Rumah kita sudah dibaiki? Siapa yang baiki? Siapa tukangnya?” tanya Pak Pandir.
 
“Ya, bang. Rumah kita sudah pun dibaiki. Tukangnya tak lain tak bukan ialah Pak Pandir!” jawab isterinya ketawa terkekeh-kekeh.
 
‘Apa! Saya yang membaiki rumah ini?” tanya Pak Pandir sambil menggaru kepala. Dia pun akhirnya ikut tertawa terkekeh-kekeh.