Sunday 13 March 2011

Malang Pak Kadok

Pak Kadok tinggal di negeri Chempaka Sari di mana raja negeri itu bergelar Indera Sari. Baginda cukup gemar menyabung ayam. Pada suatu hari, Raja Indera Sari mahu adakan pesta menyabung ayam dan Pak Kadok hendak mengambil bahagian dalam pesta itu. Penduduk sering berkata ayam sabung Pak Kadok, Biring Si Kunani itu bertuah kerana ayam itu pasti menjadi juara. Pak Kadok membeli kertas dan menyuruh isterinya membuat baju dan seluar untuk ke pesta itu. Walaupun Pak Kadok miskin tetapi dia tetap suka bergaya. Mak Siti Segera menggunting baju dan seluar kertas itu. “Tak usahlah dijahit, pakai pelekat saja,” kata Pak Kadok.
Mak Siti mengikut sahaja kata suaminya itu dan selepas siap Pak Kadok pun memakai baju dan seluar kertas itu. Di atas kepalanya Pak Kadok memakai tengkolok helang menyonsong angin. Pak Kadok nampak bergaya sekali dan tampak kacak seperti juara yang mahir dalam hal sabung-menyabung ayam. Pak Kadok menangkap ayamnya Biring Si Kunani dan menuju ke gelanggang raja untuk menyabng ayam dengan raja. 
Pak Kadok pun dititah mengadap sebelum bermula. Baginda bertitah, “Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok, Biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya,” titah baginda pula. Pak Kadok terharu mendengar kata-kata baginda itu maka tanpa berfikir panjang Pak Kadok pun setuju bertukar ayam dengan baginda raja. Baginda begitu gembira kerana dapat ayam Pak Kadok kerana baginda tahu ayam itu ayam yang bertuah.
Maka titah baginda, "Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini?"
Pak Kadok pun berkata, "Ampun Tuanku patik bukanya berharta yang patik ada cuma perkampungan patik saja. Maka jika tidak keberatan izinkan patik gadaikan kampung untuk taruhan kali ni."
Baginda pun bersetuju dengan taruhan Pak Kadok itu. Masing-masing pun melepaskan ayam. Bermula sabung menyabung antara Biring Si Kunani dan Jalak Putih dengan sengit sekali. Jalak Putih cuba untuk membalas serangan dari Biring Si Kunani tetapi tewas juga, Jalak Putih tersungkur di tengah gelanggang.
Melihat situasi tersebut Pak Kadok bertepuk sorak, sambil melompat-lompat. Pak Kadok terlupa yang dia telah bertukar ayam dengan baginda tuanku dan kerana melompat-lompat terlalu kuat, baju dan seluar kertas Pak Kadok habis koyak-robak.
Orang ramai menjadi riuh rendah melihat Pak Kadok bertelanjang bogel di tengah gelanggang dan kerana berasa amat malu dia terus lari pulang.
“Malang Pak Kadok, ayam menang, kampung tergadai!” baginda titah.

Awang Perut Buncit

Di hujung negeri Intan Saujana ada sebuah kampung kecil yang diberi nama Kampung Teluk Sabuh. Seorang nelayan bernama Pak Laha tinggal bersama keluarga di Kampung Teluk Sabuh. Mak laha bercucuk tanam membantu Pak Laha mencari rezeki. Mereka ada seorang anak bernama Awang Tembam. Mereka sekeluarga hidup aman dan damai.
Awang tembam tidak dapat menolong Pak Laha ke laut kerana perutnya yang sangat buncit. Konon ceritanya, perut Awang Tembam lebih besar dari perut perempuan yang mengandung sembilan bulan. Agaknya kerana itu la dia dipanggil Awang Perut Buncit oleh orang kampung.
Kakak-kakak Awang Tembam yang membantu Mak Laha di kebun selalu merungut
“Kami yang penat bekerja, Tembam pula yang makan lebih”, kata mereka.
Pada suatu petang, negeri Intan Saujana diserang oleh raja negeri Setampuk Pinang. Dalam masa sehari saja, negeri Intan Saujana tewas. Namun rajanya tidak mengaku kalah sebaliknya raja Intan Saujana mencabar Raja Setampuk Pinang untuk beradu satu lawan satu dalam berbagai acara.

Malangnya semua askar-askar Intan saujana kalah di dalam semua acara yang dipertandingkan oleh askar dari negeri Setampuk Pinang. Sekarang hanya tinggal satu acara sahaja iaitu bertanding melaga perut buncit.

Maka Awang Tembam pun diperintahkan ke istana. Pak Laha dan Mak Laha menangis melepaskan Awang Tembam. Awang Tembam pun tampil ke tengah gelanggang dan mula mencabar satu persatu pahlawan Setampuk Pinang.

Dalam masa yang singkat Awang Tembam berjaya mengalahkan semua pahlawan Setampuk Pinang dan Raja mereka pun berangkat pulang ke negerinya dengan penuh rasa malu.
Maka selamatlah negeri Intan Saujana

Si Luncai Dengan Labu-labunya




Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar baginda oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.

Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”

Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

“Biarkan! Biarkan!”
Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.
Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dar perahu itu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.
Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada mereka, matilah Si Luncai dan merka pun baliklah memberitahu raja akan hal itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.



Pak Pandir Membaiki Rumah

Pak Pandir suami Mak Andih dan mereka berdua tinggal di rumah buruk. Keadaan itu menyebabkan Mak Andih risau kerana apabila hujan air masuk melalui atap rumah mereka yang bocor. Mereka selalu basah dan kesejukan. Mak Andih cuba memujuk Pak Pandir supaya membaiki rumah mereka.
 
“Eh, manalah saya tahu! Itu kerja tukang rumah,” kata Pak Pandir cuba berdalih. Mak Andih mendapat satu akal, dia membuat sebatang lorong yang bermula dari rumah mereka. Lorong itu berbelit-belit merentas semak dan belukar yang akhirnya lorong itu sampai semula ke rumah mereka.
 
Esoknya, Mak Andih meminta Pak Pandir mencari kerja dan katanya, ada orang di hujung kampung mencari tukang rumah. Dia hendak membaiki rumahnya yang sudah buruk dan Mak Andih pun menyuruh Pak Pandir bekerja di sana dan lama-lama Pak Pandir bersetuju. Maka, berjalanlah Pak Pandir mengikut lorong itu hingga sampai ke sebuah rumah buruk.
 
Pak Pandir pun membaiki rumah itu dan bekerja dengan tekun. Dia menukar atap yang bocor, mengganti dinding yang kopak dan memaku semula lantai yang roboh. Sepekan dia bekerja keras, tuan rumah melayannya dengan baik dan menghidangkan Pak Pandir makanan dan minuman.
 
Pada hari yang kelapan, rumah itu siap dibaiki dan rupanya seperti rumah baru. Pak Pandir mendapat upah yang lumayan dan dia berlari-lari pulang. Dia menunjukkan wang upahan kepada Mak Andih isterinya. Tiba-tiba Pak Pandir hairan dan dia memandang ke sekeliling.
 
“Eh, Andih! Rumah kita sudah dibaiki? Siapa yang baiki? Siapa tukangnya?” tanya Pak Pandir.
 
“Ya, bang. Rumah kita sudah pun dibaiki. Tukangnya tak lain tak bukan ialah Pak Pandir!” jawab isterinya ketawa terkekeh-kekeh.
 
‘Apa! Saya yang membaiki rumah ini?” tanya Pak Pandir sambil menggaru kepala. Dia pun akhirnya ikut tertawa terkekeh-kekeh.